Perihal

My photo
Kota Bharu, Kelantan, Malaysia
Mendapat pendidikan awal di Pondok Padang Lepai dan melanjutkan pelajaran di Maahad Muhammadi Kota Bharu dan seterusnya Maktab Perguruan Batu Lintang, Sarawak

CONTOH BACAAN

RIWAYAT WARSY RIWAYAT QALUN RIWAYAT HAFS

JENIS BACAAN


~Warsy~



Warsy adalah satu gelaran yang diberikan oleh gurunya Imam Nafie’. Nama sebenar Warsy ialah Uthman Ibn Said al-Qibti al-Misri.Kalimah warsy mempunyai dua makna, pertama terlalu putih. Ia diberikan kepada warsy kerana tubuhnya yang sangat putih. Kedua, ringan pergerakan atau aktif.Warsy sangat aktif dan Imam Nafie’ selalu bertanya di manakah Warsy? Mari ke sini Warsy dan lain-lain.

Warsy lahir pada tahun 110 hijrah di Mesir dan meninggal pada tahun 197 hijrah. Pada tahun 155 hijrah, Warsy bermusafir ke Madinah al-Munawarah untuk menuntut ilmu Qiraat.Ketika itu, tokoh al-Quran yang masyhur di Madinah ialah Imam Nafie’. Imam Syafie pernah menyatakan untuk menuntut ilmu dan memperolehinya mesti ada enam syarat iaitu cerdik, berkehendak, bersungguh-sungguh, bekalan, melazimi guru dan tempoh yang panjang.

Ciri pertama iaitu cerdik adalah syarat utama. Dan syarat ini wujud pada Imam Warsy. Beliau telah membaca al-Quran sebanyak empat kali khatam sahaja di hadapan gurunya Imam Nafie’. Ada juga ulama yang menyatakan tempoh empat kali khatam di hadapan Imam Nafie’ berlangsung hanya selama sebulan.

Ciri bacaan Warsy adalah membaca dengan enam harakat pada kebanyakan mad seperti mad wajib muttasil dan mad jaiz munfasil. Mad wajib muttasil berlaku apabila huruf mad iaitu alif, wau yang sebelumnya berbaris hadapan dan ya yang sebelumnya berbaris di bawah berada bersama dengan huruf hamzah dalam satu kalimah dan jika huruf mad dan huruf hamzah berpisah dalam dua kalimah Ia dipanggil mad jaiz munfasil. Kedua-dua mad ini Warsy membaca dengan kadar enam harakat.

Selain itu kalimah yang mempunyai huruf ya seperti warsy membacanya dengan taqlil. Kaedah bacaan taqlil ini tidak wujud dalam bacaan Hafs. Justeru untuk menyebutnya dengan tepat perlu kepada talaqqi atau mempelajarinya dari guru.




~Qalun~

Nama Imam Qalun ialah Isa Ibn Mina al-Madani. Qalun dalam bahasa Rom bermaksud bacaan yang menarik dan berkualiti. Gelaran tersebut diberikan oleh gurunya Imam Nafei' bersesuaian dengan ilmu dan bakatnya dalam bidang bacaan al-Quran.

Qalun lahir pada tahun 120 hijrah dan meninggal dunia pada tahun 220 hijrah di Madinah al-Munawwarah. Kelebihan dan kemuliaan yang Allah SWT kurniakan kepada Qalun ialah beliau tidak dapat mendengar kecuali bacaan al-Quran sahaja. Ada sebahagian ulama menyatakan bahawa beliau adalah seorang yang pekak di akhir usianya.

Namun, kesebatian hidupnya dengan al-Quran, membolehkan beliau mengesan kesalahan bacaan al-Quran melalui pemerhatian kepada gerakan bibir pembaca al-Quran. Seterusnya, membetulkanya dengan bacaan yang sahih.

Mengikut sejarah, Qalun belajar al-Quran daripada gurunya seorang tokoh al-Quran di Madinah al-Munawarah iaitu Imam Nafei'. Beliau sangat tekun dalam menimba ilmu tanpa mengira penat dan lelah. Pernah satu ketika ditanya kepadanya, sudah berapa kali kamu khatam al-Quran di hadapan Imam Nafei'? Qalun menjawab, tidak terkira bilangan khatam tetapi yang pastinya aku masih membaca di hadapannya meskipun sudah lebih 20 tahun.

Sebagai renungan bersama adat kebiasaan masyarakat Melayu amat bermegah apabila anaknya khatam al-Quran di usia masih kecil. Mereka akan mengadakan majlis khatam al-Quran bagi meraikan usaha dan pencapaian anak tersebut. Malangnya khatam al-Quran menjadi lesen kepada anak-anak untuk tidak lagi membaca al-Quran di usia menengah dan dewasa. Sebaliknya di negara arab, belajar al-Quran tidak berhenti dengan sekali khatam di hadapan guru. Selepas khatam al-Quran mereka mencari guru yang lain.

Bermula dengan menekuni riwayat Hafs dan selepas khatam riwayat tersebut mereka membaca Qiraat tujuh atau mendalami riwayat-riwayat lain. Khatam al-Quran ketika usia masih muda adalah permulaan untuk mengenal al-Quran. Masih banyak sebutan huruf, sifat huruf dan hukum tajwid yang perlu diberi penekanan.

Pengajaran daripada kisah Qalun yang membaca al-Quran di hadapan gurunya selama lebih dua puluh tahun memberi isyarat bahawa ilmu bacaan al-Quran memerlukan tempoh yang panjang dan tidak hanya memadai dengan sekali khatam sahaja. Justeru pembelajaran al-Quran perlu ada kesinambungan dan dilangsungkan dalam kehidupan muslim dan jadikan bacaannya sebagai rutin harian.


~Hafs~

Nama sebenar beliau ialah Hafs bin Sulaiman bin al-Mughirah al-Asadi al-Kufi. Beliau dilahirkan pada tahun 90 Hijrah dan wafat pada tahun 180 Hijrah. Kebanyakan umat islam kini membaca Al-Quran menurut riwayat Imam Hafs ini.

0 comments: